SIC pilih Adam Khalid untuk Siri TCR Asia
SELEPAS penilaian menyeluruh berdasarkan persembahan, Sepang International Circuit (SIC) akhirnya telah memilih pelumba muda, Adam Khalid sebagai pemandu mereka untuk bersama dalam pasukan Engstler bagi Siri TCR Asia.
Adam bakal menggantikan calon tahun lalu, Mitchell Cheah yang kini akan bertanding untuk TCR Jerman. Pelumba berusia 21 tahun itu yang beraksi pada Siri Kejohanan Malaysia (MCS) dan 1000km Perlumbaan Endurance tahun lalu mengetepikan tiga calon lain iaitu Mark Darwin, Brendan Paul Anthony dan Ahmad Akid Azlee.
“Kami menempatkan empat pelumba bagi TCR Malaysia yang berlangsung sebanyak tiga pusingan dengan misi untuk mencari seorang wakil ke TCR Asia di bawah Program Perkembangan Bakat SIC.
“Kami berbesar hati untuk memilih Adam Khalid sebagai calon tersebut. Kesemua empat calon merupakan pelumba berbakat jadi amat sukar untuk kami membuat keputusan ini. Pemilihan bukan sahaja berdasarkan persembahan mereka malah mengambil kira ketahanan fizikal dan sikap mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.
Adam menyertai MCS pertengahan musim lalu bersama Pasukan Hirev Dream Chaser dan tidak menunggu masa lama untuk menjadi pelumba utama untuk pasukan Engstler bagi Siri TCR Asia. Meskipun dianggap muka baharu dalam dunia permotoran, Adam dianggap sebagai seorang yang cepat belajar. Beliau berjaya menguasai skil yang diperlukan untuk menyaingi pelumba lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!