Program pemulihan di penjara bantu bekas banduan hadapi dunia luar

Mafuzah
Mafuzah
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mengambil pendekatan melaksanakan program pemulihan sebagai persediaan untuk bekas penghuni penjara menghadapi dunia luar selepas bebas kelak.

Ketua Inspektor Penjara KA32, Mafuzah Md Radzi berkata, misi JPM adalah untuk melahirkan insan yang korektif berdasarkan program pemulihan efektif dengan menyediakan empat fasa program pemulihan.

“Fasa satu melibatkan program orientasi dengan penglibatan semua banduan manakala fasa dua, mereka akan dikategorikan mengikut kesalahan dan peringkat umur.

“Fasa tiga pula melibatkan kemahiran iaitu mereka akan diterapkan skill (kemahiran) antaranya bengkel bakeri, jahit dan batik. Ini adalah sebagai persediaan setelah mereka bebas nanti.

“Seterusnya, fasa empat, banduan akan dibebaskan dalam komuniti program pra bebas. Sekarang kita ada program kemasyarakatan iaitu untuk memastikan dua per tiga daripada mereka menjalani hukuman di luar penjara,” katanya ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Wirawati di Balik Tirai Besi’ yang dihoskan Hazlin Hussain dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu mengenai isu rasuah dalam negara, Mafuzah berkata, pendidikan terhadap generasi muda mengenai jenayah itu harus bermula sejak di bangku sekolah.

“Pendidikan adalah sangat penting dan asasnya bermula dari sekolah dan rumah kerana ia akan membawa ke alam pekerjaan.

“Sebabnya rasuah sudah jadi macam budaya. Kadang-kadang pelaku tidak anggap perkara tersebut sebagai jenayah.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, mereka yang hisap dadah, mula-mula akan rasa biasa sebab fikir baru sekali dua, tak mungkin dah boleh ketagih. Tapi lama kelamaan ia akan menjadi budaya hingga merosakkan bangsa dan negara.Sepatutnya rasuah dibanteras dari awal,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!