Tebing sungai runtuh, rumah hampir dihanyutkan arus
BACHOK - [DIKEMAS KINI] Dua keluarga membabitkan sembilan isi rumah berdepan detik cemas apabila rumah mereka hampir dihanyutkan arus akibat tebing sungai mendap dan runtuh dalam kejadian di Kampung Kubang Kuau, Repek di sini pada petang Isnin.
Kejadian itu berlaku pada jam 3.30 petang.
Seorang mangsa yang terlibat, Hamzah Jusoh, 53, berkata, ketika kejadian dia dan dua anaknya berada di rumah menyedari ada rekahan pada tanah di bahagian belakang rumahnya lalu kemudian memanggil jirannya untuk melihat rekahan tersebut.
“Kebetulan ketika itu saya berada di belakang rumah ternampak rekahan kecil pada tanah yang semakin lama semakin besar.
“Saya panggil anak-anak dan jiran,tiba-tiba sekelip mata sahaja tebing sungai terus runtuh sekali dengan pokok-pokok,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Katanya, dia kemudian dibantu penduduk kampung memindahkan barang-barang rumah ke tempat yang lebih selamat namun terdapat beberapa barang yang berada di belakang rumah turut dibawa mendapan ke dalam sungai.
“Kejadian ini kali pertama berlaku sejak kami tinggal di rumah ini pada 13 tahun lalu.
“Buat masa ini, saya akan berpindah sementara ke rumah adik dan kawasan rumah dipantau oleh pihak bomba sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Siti Fatimah Mat, 52, dia yang baru selesai solat Zohor dan berehat di bilik dikejutkan dengan suara anak menjerit memanggilnya.
“Anak saya dengan cemas memanggil dan menari saya bangun untuk pergi melihat sungai di belakang rumah serta pokok Nibong yang sudah berada di tengah-tengah.
“Jiran rumah bersebelahan pun ada di luar masa tu tengok tanah runtuh dengan pokok hanyut dan tiga tiang belakang rumah runtuh masuk dalam sungai,” katanya.
Dia yang tinggal bersama anak dan suaminya yang lumpuh akibat strok tidak menyangka berlaku kejadian mendapan kerana cuaca baik ketika itu.
“Kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri walaupun keadaan kediaman sudah tidak selamat untuk diduduki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan pemantauan dilakukan di kawasan mendapan tanah dan runtuhan tebing sungai.
“Kesemua penghuni rumah yang terbabit diarah berpindah bagi tujuan keselamatan dan orang awam dinasihati supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!