JPM beri penekanan pendidikan terhadap banduan muda

Siti Asmah
Siti Asmah
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia (JPM) amat menitikberatkan ilmu pendidikan terutama dalam kalangan banduan muda bagi mengelakkan keciciran dalam aspek tersebut.

Penolong Penyelia Akademik, Sekolah Integriti Puncak Alam, Siti Asmah Osman berkata, banyak program dan pendekatan yang dijalankan kerana tidak mahu banduan tertinggal dalam pelajaran

“Ramai yang tersalah anggap antara sekolah integrasi dengan integriti kerana kurangnya pendedahan sekolah ini kepada masyarakat sedangkan pendidikan dalam JPM ini sebenarnya sudah wujud sejak tahun 2008 lagi,” katanya ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) yang bertajuk ‘Wirawati di Balik Tirai Besi’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Dalam program yang dihoskan Hazlin Hussain itu, Siti Asmah berkata, antara cabaran paling ketara sebagai pendidik di sebalik tirai besi itu ialah apabila perlu berhadapan dengan ego pelajar.

“Kita mendidik pelajar yang sudah dewasa dan mereka ada ego masing-masing.

“Justeru, sebelum pelajar memasuki akademi, mereka akan menjalani tapisan ujian diagnostik dan ditemuramah oleh guru serta kaunselor untuk mengenal pasti tahap pendidikan sebelum diasingkan mengikut tahap masing-masing.

“Ego mereka sangat tinggi, contohnya ketika di kelas pemulihan, ada yang mempersoalkan mengapa perlu belajar bacaan asas sedangkan mereka sudah dewasa?

“Jadi, apabila berlaku situasi seperti itu, ia menjadi cabaran untuk kami menarik semula minat mereka untuk belajar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Siti Asmah memberitahu, untuk mendidik golongan banduan tidak boleh menggunakan kaedah marah atau secara paksaan tetapi dilentur secara perlahan.

Siti Asmah mengakui beliau berpegang dengan kata-kata, walau apa sahaja kesalahan mereka buat, itu adalah kisah mereka di luar.

“Apabila bersama, kami anggap bayi atau kain putih di mana kitalah yang akan mencorakkannya.

“Dari segi pendidikan memang mereka diajar mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tetapi dalam masa sama, kita perlu membentuk mereka dari segi sahsiah juga,” jelas beliau.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!