PRN Melaka permulaan UMNO, BN hadapi PRU15: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - UMNO akan terus memperkasa dan memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan mutlak yang diperoleh gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan permulaan kepada perjalanan parti itu untuk menghadapi PRU akan datang.
“Saya ulangi bicara saya bahawa PRN Melaka adalah permulaan kita. PRU15 merupakan destinasi kita. Kestabilan demi kemakmuran rakyat dan negara adalah misi kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Sabtu lalu, BN berjaya merekodkan kemenangan besar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan gabungan tersebut menang di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melahirkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh kesemua ahli parti UMNO pada PRN tersebut.
“Terlalu banyak boleh dibicarakan tentang kemenangan mutlak BN dalam PRN Melaka. Syukur Alhamdulillah, sesungguhnya penilaian UMNO tentang apa yang terbaik demi masa depannya untuk rakyat ternyata tepat.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada suara akar umbi parti seluruh negara, kerana menaruh kesetiaan keikhlasan kepercayaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi tersemat keyakinan bahawa UMNO mampu bangkit semula.
“Jelas keyakinan itu bukan kerana tamak, sombong atau angkuh, sebaliknya berdasarkan analisa yang ikhlas lagi jujur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!