11 kejadian tanah runtuh, pokok tumbang di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Sekurang-kurangnya 11 kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Cameron Highlands, pada Isnin.
Kejadian yang bermula sekitar jam 2 petang itu berlaku ekoran hujan lebat berlarutan hampir dua jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Zulraime Seman berkata, seorang lelaki dilaporkan cedera apabila kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Tanah Rata di sini.
"Maklumat yang diterima, kereta tersebut dinaiki empat mangsa. Dua mangsa yang terperangkap dikeluarkan oleh anggota bomba dan telah mendapatkan rawatan.
"Dua mangsa lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian sama di kawasan Ringlet, Brinchang, Sungai Palas, Tringkap dan Batu 20, Jalan Cameron Highlands- Tapah di sini.
"Kejadian tersebut turut menghalang laluan kenderaan. Anggota bertindak menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok tumbang dan mengalihkan ke tempat selamat
"Selain itu, anggota menggunakan skop dan cangkul bagi membersihkan laluan untuk keselamatan orang ramai," katanya.
Zulraime berkata, meskipun keadaan hujan kini sudah reda, pihaknya sentiasa bersedia untuk berhadapan keadaan termasuk banjir kilat berikutan peralihan monsun timur laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!