Pakatan AUKUS bermula

Dutton menandatangani perjanjian utama di bawah pakatan AUKUS dan turut disaksikan Goldman (dua dari kanan) dan Treadell yang berada di sebelahnya di Dewan Parlimen di Canberra. - Foto: AFP
Dutton menandatangani perjanjian utama di bawah pakatan AUKUS dan turut disaksikan Goldman (dua dari kanan) dan Treadell yang berada di sebelahnya di Dewan Parlimen di Canberra. - Foto: AFP
A
A
A

CANBERRA - Australia secara rasmi memulakan pakatan keselamatan kontroversi di bawah pakatan pertahanan baharu bersama United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menangani konfrontasi China yang semakin meningkat di Indo-Pasifik.

Pada Isnin, Menteri Pertahanan, Peter Dutton bersama diplomat AS, Michael Goldman dan Pesuruhjaya Tinggi British, Victoria Treadell menandatangani perjanjian utama yang membenarkan pertukaran maklumat sensitif berkaitan pendorong nuklear antara ketiga-tiga negara berkenaan.

Ia adalah kesepakatan pertama mengenai teknologi yang dimeterai secara terbuka sejak trio negara itu mengumumkan pakatan AUKUS tersebut pada September lalu hingga mencetuskan kebimbangan negara antarabangsa selain menjejaskan hubungan bersama Perancis.

Difahamkan, perjanjian itu akan membantu Canberra menyelesaikan penyelidikan selama 18 bulan terhadap rancangan pemerolehan kapal selam.

“Australia akan berada pada kedudukan yang boleh dipercayai untuk mengendalikan teknologi seumpama itu atas perkongsian maklumat AS dan UK yang mempunyai pengalaman selama beberapa dekad,” kata Dutton sambil menambah butiran tentang pemerolehan kapal selam itu masih belum diputuskan.

Di bawah pakatan AUKUS tersebut, Australia akan memperoleh lapan kapal selam canggih berkuasa nuklear, namun dilengkapi senjata konvensional yang berupaya menjayakan misi rahsia jarak jauh.

Selain itu, perjanjian itu juga menyediakan perkongsian siber, kecerdasan buatan, kuantum dan keupayaan operasi dasar laut yang tidak ditentukan.

Pakatan keselamatan baharu itu mengundang kemarahan China yang mendakwa ia sebagai ancaman sangat tidak bertanggungjawab terhadap kestabilan rantau Indo-Pasifik.

Artikel Berkaitan:

Perancis yang mendakwa tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perjanjian juga berang apabila Australia sewenang-wenangnya membatalkan kontrak kapal selam bernilai AS$65 bilion (RM272 bilion) yang dimeterai kedua-dua negara sebelum ini.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison bagaimanapun tetap mempertahankan keputusan itu atas alasan ia untuk kepentingan negara. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!