Jangan jadikan anak seperti ‘orang suruhan’
SHAH ALAM - Seorang ayah tidak seharusnya menunjukkan sikap kebapaannya dengan hanya menjadikan anak seperti ‘orang suruhan’.
Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr Mohd Shafiq Sahimi berkata, pengajaran ditunjukkan dalam al-Quran menunjukkan bahawa seorang ayah juga boleh menjadi seperti seorang rakan kepada anak.
“Dalam al-Quran, ALLAH mengajarkan kita menerusi kisah antara Nabi Ibrahim (bapa) dan Nabi Ismail (anak) yang mana perhubungan mereka ini seperti kawan dan rakan. Dalam pembinaan Kaabah, mereka sama-sama buat kerja dan juga membuat aktiviti lain seperti berjalan bersama-sama.
“Di sini menunjukkan bahawa kita mungkin boleh buat pelbagai aktiviti bersama-sama dengan anak sehinggakan dengan kebersamaan kita itu, anak-anak tidak memiliki kejanggalan bersama dengan ayahnya.
“Jadi dia tidak ada rasa janggal sehingga takut untuk bercakap atau berbincang dengan ayahnya,” katanya ketika menjadi panelis pada program Wacana Al-Quran bertajuk Ayah: Cukupkah Hanya Bagi Duit? yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Isnin.
Program yang diacarakan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail Qari My #QuranTime, Amirahman Abas yang memperdengarkan bacaan surah Yusuf ayat 4 hingga 5 dan Surah Lukman ayat 16 hingga 17.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, bapa juga seharusnya menjadi seorang individu yang boleh dijadikan rujukan dan tempat untuk mendapatkan nasihat berkenaan dengan sebarang isu yang dihadapinya dalam kehidupan.
Katanya, ini kerana tanggungjawab bapa tidak terhad hanya kepada menyediakan makan dan minum anak tetapi turut meliputi aspek pendidikan rohani dan akhlak sejak daripada kecil.
“Seorang bapa, kalau anak dia hanya terdiri daripada jasad semata, mungkin makan sahaja sudah cukup. Tetapi tapi kerana Allah menciptakan anak itu dengan unsur emosi, rohani dan memiliki akal maka, tidak cukup dengan hanya memberikan makan,” ujarnya.
Menurut beliau, asas pendidikan paling penting perlu diambil berat oleh bapa ialah berkenaan dengan pembentukan kefahaman akidah anak-anak.
Beliau berkata, dengan menyempurnakan perkara tersebut, ia akan secara langsung membantu kepada pembentukan akhlak yang baik dan kepatuhan kepada syariat agama yang telah ditetapkan oleh ALLAH.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Cool Mum Super Dad Consultancy, Ahmad Fakhri Hamzah berkata, zaman seorang bapa menggunakan kuasa mutlaknya sebagai ketua keluarga dalam proses pembentukan anak sudah berlalu.
Menurut beliau, perubahan sosial yang berlaku terutamanya dengan kemajuan teknologi maklumat, tugas seorang bapa tidak mencukupi hanya cukup sekadar dengan memberikan nasihat sahaja.
“Anak-anak sekarang ini dia boleh memahami sesuatu perkara itu dengan pelbagai sudut dan aspek yang dia boleh pelajari dari dunia luar. Jadi dalam hal ini, dia memerlukan keterampilan seorang ayah yang lebih berhemah dan berhikmah,” ujarnya.
Menurut beliau, ketegasan bapa untuk memaksakan kefahaman dan idea juga berpotensi untuk merenggangkan perhubungan mereka dengan anak dan seterusnya menyukarkan lagi usaha untuk mendidik anak tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!