129 PATI ditahan bekerja tanpa permit sah
SERI KEMBANGAN - Seramai 129 pekerja asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia ke atas sebuah kilang membuat alat ganti mesin di Balakong di sini, malam Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 134 individu diperiksa dalam operasi yang bermula sekitar jam 8 malam itu.
Menurutnya, tangkapan dibuat melibatkan 110 lelaki dan 19 orang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun yang sedang bekerja di kilang tersebut.
"Hasil serbuan mendapati mereka (pekerja) terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal yang tak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada Isnin.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan memanggil pihak majikan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM5,000 untuk setiap seorang PATI.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut mengesan seramai lima buruh asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang didaftarkan di bawah sebuah syarikat di Melaka tetapi mereka bekerja di Selangor.
"Mereka sepatutnya bekerja di Melaka kerana majikan mereka kilang di sana dan bukan di Balakong ini berdasarkan nama yang tertera dalam PLKS.
"Kita akan siasat majikan dan pekerjanya sebab salah guna PLKS yang dikeluarkan mengikut kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa para majikan untuk mendaftarkan PATI yang bekerja untuk mereka di bawah Program Kalibrasi Tenaga Kerja yang dibuka sehingga 31 December.
"Pihak Imigresen berasa kecewa kerana majikan kilang ini tidak mengambil peluang Program Kalibrasi Tenaga Kerja yang sedang dijalankan sekarang.
"Baru-baru ini syaratnya telah dilonggarkan, bagi majikan yang mendaftarkan pekerja PATI mereka dalam portal, walaupun PLKS belum dikeluarkan dan sedang diproses tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan,"jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!