JDT, TFC sama handal

Bergson (tengah) dicabar dua pemain TFC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. - Foto FB Johor Southern Tigers
Bergson (tengah) dicabar dua pemain TFC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengikat Terengganu FC (TFC) dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, TFC tampak cukup bersemangat apabila melancarkan beberapa serangan awal ke kubu JDT yang dikawal penjaga gol, Farizal Marlias.

Usaha TFC itu nyata membuahkan hasil apabila penyerang berbisa, Jordan Mintah berjaya menyudahkan umpanan lintang Lee Tuck seawal minit kelapan.

Tersentak dengan jaringan awal TFC, JDT kembali memperkemaskan rentak permainan mereka sehingga hampir menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian menerusi Bergson da Silva.

Bergson menggunakan kelincahannya untuk melakukan rembatan leret dari luar kawasan penalti, namun percubaannya itu sekadar singgah di tiang gol ketika penjaga gol TFC, Suhaimi Husin sudah tertewas.

JDT terus mengasak ke kubu TFC sehingga memperoleh dua peluang terbaik hasil percubaan Arif Aiman Hanapi dan Bergson dalam kawasan penalti.

Namun, Suhaimi tampak lebih bersedia menafikan dua percubaan berbahaya tersebut, sekali gus memastikan gawangnya tidak dibolosi pada aksi babak pertama.

Sebaik lima minit aksi babak kedua bersambung, gawang TFC akhirnya bocor apabila Bergson menyudahkan lorongan cantik Arif Aiman.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pasukan saling mengasak dalam memburu gol kedua, namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan JDT membawa bekalan satu gol di tempat lawan menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!