Mufti minta orang buta hormati agama
Tindakan OKU penglihatan diiringi individu bukan mahram dan saling bersentuhan semasa bekerja menjual tisu atau mengutip derma yang biasa dilihat di restoran seluruh negara tetap salah di sisi agama Islam dan diminta segera menghentikan perbuatan itu.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukumnya tetap haram tidak kira sama ada OKU mahupun orang bukan OKU jika berjalan bersama dengan mereka bukan mahram apatah lagi jika berlaku sentuhan fizikal.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Sinar Siasat mengenai trend OKU penglihatan didapati mengemis dari meja ke meja kedai makan diiringi individu berlainan jantina bukan pasangan suami isteri atau anak beranak.
"Kalau dia OKU sekali pun tetap haram jika perempuan berjalan bersamanya itu bukan mahramnya. Hormatilah agama kita pegang kerana dalam Islam orang lelaki dan orang perempuan yang bukan mahram, haram jalan bersama.
"Kalau bukan mahram memang tak boleh (jalan berdua) kecuali orang perempuan itu ada mahram yang turut menemaninya. Jadi kena tiga oranglah (jalan bersama)," jelas beliau.
Sementara itu Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, perbuatan OKU lelaki yang diiringi wanita bukan mahram ketika bekerja mencari wang menjual tisu boleh mengundang persepsi serong dalam kalangan masyarakat.
"Tak bolehlah sebab itu bukan mahramnya, kalau sama-sama perempuan tak apa, sama-sama lelaki tak apa. Pengiring cacat orang lelaki yang cacat perlulah lelaki. Mahram dia ke (anak) atau isterinya boleh iringi.
"Tak bolehlah bukan mahram, walaupun dia buta, dia orang lain (tak boleh sentuh kulit)," katanya.
Katanya, sewajarnya mereka ditemani isteri, anak atau pun individu sesama jantina.
"Kalau perlu buat satu tempat perniagaan betul-betul untuk OKU itu dilatih untuk berniaga dengan lebih baik. Kalau cara begini (menjual dari meja ke meja) seolah-olah memaksa, orang kesian terhadap mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!