RM19.75 bilion nilai rumah siap tidak terjual
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 31,112 unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku kedua yang bernilai RM20.1 billion.
“Ini menunjukkan terdapat sedikit penurunan sebanyak 2.64 peratus dalam bilangan unit dan 1.74 peratus dalam nilai bagi suku tahun ketiga berbanding suku kedua tahun 2021.
“Terdapat penurunan kadar lambakan rumah yang tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju yang menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi masa kini,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta kementeriannya menyatakan jumlah terkini rumah yang tidak terjual mengikut jenis dan negeri setakat September 2021.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, Johor merekodkan projek rumah siap dibina tidak terjual paling tinggi iaitu sebanyak 6, 441.
Katanya, daripada jumlah itu, rumah jenis apartmen atau kondominium paling banyak tidak terjual iaitu sebanyak 2,695.
Tambahnya, antara punca lambakan rumah tidak terjual ini adalah ekoran daripada penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, lokasi yang kurang menarik dan sebagainya.
Pada masa sama katanya, transaksi pembelian rumah sedia ada secara subsale juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual.
“Isu ini akan sentiasa diberi perhatian oleh kementerian dan penyelesaiannya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan , institusi perbankan dan sebagainya.
“Saya yakin dengan langkah-langkah yang diatur ini, isu rumah tidak terjual akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!