Hampir 2 juta banduan dibebaskan dalam tempoh 10 tahun
KUALA LUMPUR - Seramai 1,940,579 orang banduan telah dibebaskan selepas tamat hukuman dari tahun 2011 hingga 1 Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia berdasarkan jumlah yang direkodkan Jabatan Penjara Malaysia.
Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam memastikan banduan yang dibebaskan dilengkapi dengan kemahiran mencukupi sebelum mereka kembali ke dalam komuniti.
“Selain itu, sepanjang menjalani proses pemenjaraan dan pemulihan, banduan akan mengikuti pelbagai program latihan kemahiran bersijil dalam penjara dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia.
“Sebahagian daripada latihan berkenaan melibatkan penyertaan banduan yang akan dilatih seterusnya akan menghasilkan sendiri beberapa produk seperti produk tenun, songket, pastri, makanan sejuk beku, kuih raya, perabot, ukitan kayu dan pelbagai produk lain yang berasaskan kemahiran.
“Kemahiran dalam bidang-bidang ini dapat membantu seseorang banduan mencari pekerjaan dalam sektor yang bersesuaian sebaik selesai menjalani hukuman,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) yang mahu kementeriannya menyatakan jumlah banduan yang keluar dari penjara selepas tamat hukuman dari tahun 2011 sehingga 202.
Selain itu, beliau juga ditanya apakah usaha-usaha kerajaan untuk memastikan bekas-bekas banduan ini diterima oleh keluarga dan masyarakat serta keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, demi kepentingan pemulihan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, KDN melalui Jabatan Penjara Malaysia juga telah memperkenalkan program Corporate Smart Internship (CSI) iaitu kerjasama dengan syarikat swasta bagi memberi peluang untuk Orang Diparol (ODP) menyertai sektor pekerjaan.
“KDN melalui Jabatan Penjara Malaysia juga telah melaksanakan banyak program latihan kemahiran dan pemulihan untuk banduan sama ada di dalam mahupun di luar penjara agar banduan berkenaan mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!