Klopp mahu lakukan rombakan besar
BIARPUN telah mengesahkan slot ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tetap mahu melakukan rombakan besar skuad kendaliannya itu bagi aksi berdepan Porto di Anfield pada Khamis.
Menurutnya, rombakan itu dibuat berikutan masalah kecederaan pemain yang melanda skuad The Reds pada ketika ini hingga menyebabkannya perlu melakukan penggiliran pemain yang tepat bagi mengharungi baki saingan di peringkat kumpulan dan mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Untuk baki saingan peringkat kumpulan ini, kita perlu turunkan pemain yang betul dalam usaha mempertahankan rekod tanpa kalah setakat ini.
“Setakat ini, kita telah turunkan beberapa pemain dan mereka dilihat telah menjalankan tugas dengan baik.
“Oleh itu, diharapkan mereka terus konsisten memberikan aksi terbaik buat pasukan dan seterusnya membantu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Untuk rekod, skuad The Reds yang telah pun mengesahkan kemaraan ke saingan kalah mati kini menghuni tangga teratas Kumpulan B dengan 12 mata tanpa sebarang kekalahan daripada empat perlawanan.
Bagaimanapun Klopp berkata, pihaknya masih perlu melakukan rombakan berkenaan bagi memastikan kejayaan berterusan skuad kendaliannya itu.
Antara pemain yang dijangka beraksi adalah Takumi Minamino Divock Origi, Neco Williams, Alex Oxlade-Chamberlain dan Kostas Tsimikas.
Sementara itu, Klopp berkata, pihaknya belum pasti dapat menurunkan Thiago Alcantara pada perlawanan berkenaan berikutan masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.
“Mengenai Thiago, saya tak pasti. Namun, saya juga tidak mahu mengambil risiko kerana ia akan hanya menambahkan lagi bilangan pemain yang cedera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!