Pembangkang Johor kecewa sekadar jadi pemerhati JTPD
ISKANDAR PUTERI - Pembangkang Johor kecewa apabila 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka hanya dijemput sebagai pemerhati Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan bukannya sebagai ahli 'ex-official' yang boleh bersuara dan menyatakan pandangan.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tindakan sekadar pemerhati itu tidak memberi manfaat kepada ADUN pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Selepas Hasni mengumumkan ADUN pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) dijemput menjadi pemerhati JTPD pada pembentangan Belanjawan Johor 2022 pada Khamis lalu, kami cukup kecewa dan menganggap ia tidak adil.
"Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan mengadakan mesyuarat pada Khamis dan seterusnya mencapai kata putus menolak tawaran tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, pada Selasa.
Wee Tse yang juga ADUN Bukit Batu berkata, Aminolhuda sudah menyampaikan keputusan sebulat suara PH Johor itu kepada Hasni, malah ADUN Jementah, Tan Chen Choon akan membawa usul mengenai isu ini pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022, Ahad nanti.
Sebelum itu pada Khamis lalu, Hasni yang juga ADUN Benut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju untuk menjemput ADUN pembangkang untuk menyertai JTPD, sebagai pemerhati.
Hasni dilaporkan berkata, langkah itu sebagai maklum balas kepada permintaan ADUN pembangkang yang mahu terbabit sama dalam jawatankuasa berkenaan.
Ditanya sama ada ADUN pembangkang Johor tidak akan memberikan sokongan terhadap undian Belanjawan Johor 2022 berikutan isu berkenaan, Wee Tse menjelaskan, perkara terbabit perlu menunggu maklum balas Hasni pada sesi penggulungan pada Ahad ini.
"Kita (PH Johor) tunggu pada masa itu (sesi penggulungan) sama ada pembangkang akan sokong Belanjawan Johor 2022 atau tidak.
"Johor mempunyai jumlah ADUN kerajaan dan pembangkang yang tipis iaitu 29 di pihak kerajaan dan 27 di pihak pembangkang. Hasni diharap dapat memberi keputusan yang matang dalam isu ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!