Aplikasi Ez Adu bantu pengguna salur aduan
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membangunkan aplikasi Ez Adu bagi membantu ke arah pengguna pintar.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, aplikasi itu diperkenal untuk memudahkan pengguna menyalurkan aduan di mana-mana dan pada bila-bila masa.
“Walau bagaimanapun, aplikasi ini sedang di dalam proses penambahbaikan selari dengan keperluan pengguna dan perubahan teknologi,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang meminta kementeriannya menyatakan program terkini kementerian melibatkan advokasi pengguna selaras dengan perubahan tingkah laku serta trend pembelian akibat pandemik Covid-19 dan apakah strategi kementerian dalam mempromosi aplikasi yang boleh membantu ke arah pengguna pintar.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, pelbagai medium hebahan telah dilaksanakan termasuklah melalui media sosial rasmi kementerian, media massa sama ada di televisyen atau radio dan sesi taklimat kepada pengguna dalam mempromosikan aplikasi yang telah dibangunkan.
Selain itu katanya, antara aplikasi lain yang turut diperkenalkan KPDNHEP adalah Price Catcher yang dibangunkan bagi memudahkan pengguna untuk membuat perbandingan harga mengikut jenis barang dan lokasi.
“Aplikasi MySale Tracker pula dibangunkan bagi membekalkan pengguna dengan maklumat berkaitan jualan-jualan murah yang sedang berlangsung di premis-premis berhampiran lokasi mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!