JPJ tahan 6 lori bawa lebih muatan
JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menahan enam buah lori dalam operasi kenderaan berat di sekitar RAPID, Pengerang dan Plaza Tol Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi.
Kesemua lori jenis tipper/dumper itu ditahan dalam operasi yang turut dikenali sebagai Ops Hippo kerana membawa muatan melebihi daripada had dibenarkan.
Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, operasi diketuai Timbalan Pengarah JPJ Johor itu dilaksanakan Unit Siasatan dan Risikan bersama Unit Timbang JPJ Johor pada Sabtu lalu.
Menurutnya, penguatkuasaan membabitkan 17 anggota dari dua unit tersebut dibuat secara rondaan dan dibahagikan kepada empat kumpulan.
"Semua lori yang ditahan telah ditimbang di lokasi dan didapati membawa muatan melebihi daripada had yang dibenarkan," katanya pada sidang media di JPJ Johor di sini hari ini.
Razali berkata, semasa operasi dijalankan, kehadiran tonto dapat dilihat di sekitar lokasi.
Katanya, kesemua kenderaan tersebut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Jika sabit kesalahan, pemilik boleh didenda dari RM1,000 hingga RM500,000.
"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan agar kegiatan ini dapat dibendung sepenuhnya," katanya.
Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan JPJ menahan seorang 'ulat tiket' dalam satu operasi khas dijalankan di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini.
"Dalam operasi ini, dua pegawai telah menyamar sebagai penumpang bas dan memasuki laluan ke terminal. Pegawai yang menyamar telah didatangi 'ulat tiket' dan memujuk untuk membeli tiket bas ke lokasi Kuala Lumpur.
"Pegawai yang menyamar bersetuju untuk membeli tiket ke Kuala Lumpur dan dibawa oleh 'ulat tiket' ke lokasi bas yang telah ditetapkan. 'Ulat tiket' terbabit kemudiannya telah ditahan di lokasi tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!