Covid-19: Kerajaan siap sedia hadapi gelombang keempat
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesan jangkitan Covid-19 itu hanya dapat dilihat sekitar 10 ke 14 hari akan datang.
“Kesan jangkitan kita akan dapat 10 ke 14 hari lagi. Kita pantau keadaan ini, kerajaan tahu dan siap sedia untuk hadapi kemungkinan gelombang keempat akan berlaku di negara kita, ini kita amat khuatir,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai kesan penularan Covid-19 susulan PRN Melaka yang hanya dapat dilihat dalam masa dua minggu serta perancangan kerajaan sekiranya berlaku peningkatan kes.
Mengambil pengajaran PRN Sabah tahun lepas, Aaron menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat telah ditetapkan bagi PRN Melaka dengan tidak membenarkan kempen besar-besaran diadakan.
Selain itu, kata beliau SOP yang ketat juga bakal digunakan bagi PRN Sarawak akan datang bagi mengekang penularan Covid-19. -Bernama
TAG: parlimen, COVID-19, PRN Melaka, SOP, gelombang keempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!