Bonnie ketuai cabaran Malaysia di Georgia
BADANG negara, Bonnie Bunyau Gustin akan mengetuai cabaran Malaysia pada Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia bermula 27 November hingga 5 Disember ini.
Juara kategori 72 kilogram (kg) Sukan Paralimpik Tokyo akan turut disertai lima atlet lain termasuk pemenang perak temasya sukan berprestij di Jepun iaitu Jong Yee Khie (107kg) dan abangnya Bryan Junency Gustin (80kg).
Jurulatih kebangsaan, Jamil Adam menyifatkan saingan di Georgia itu sangat penting, kerana ia merupakan medan pertama bagi anak-anak buahnya untuk memungut mata kelayakan ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.
“Persediaan ke Georgia berjalan dengan lancar setakat ini, walaupun atlet hanya kembali berlatih sejak pertengahan Oktober lepas.
“Saingan di Tbilisi ini lebih kepada membantu para atlet mendapatkan semula rentak, selepas berehat sebulan setelah beraksi di Paralimpik Tokyo,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Sementara itu, jurulatih berusia 52 tahun itu hanya menyasarkan Bonnie dan Yee Khie untuk meraih kedudukan tiga teratas, manakala atlet lain pula berada dalam kelompok lima teratas dalam kategori masing-masing.
Jelasnya, beliau enggan memberi tekanan kepada atlet dengan meletakkan sasaran tinggi kepada mereka di Georgia, kerana percaya atlet belum mencapai kemuncak prestasi yang dikehendaki.
Bagaimanapun, Jamil yakin atlet akan mula berada dalam prestasi terbaik mereka sekurang-kurangnya dua tahun, sebelum temasya sukan di Perancis itu berlangsung.
“Tahun hadapam kita ada dua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Paris 2024 iaitu di Korea Selatan pada Mei dan Sukan Para Asia di Hangzhou, China pada Oktober, saya jangka atlet powerlifting akan mula mencapai kemuncak prestasi ketika itu,” tambahnya.
Atlet lain yang akan turut menyertai pertandingan di Georgia adalah Nicodemua Manggoi Saad (88kg) dan Wan Nur Azri Wan Azman (97kg), manakala Sona Agon (73kg) pula menjadi wakil tunggal negara bagi kategori wanita.
Kesemua atlet akan bertolak ke Georgia awal pagi esok dan dijangka pulang ke tanah air pada 8 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!