Pelantikan duta dibuat secara teliti berdasarkan prinsip diplomasi
KUALA LUMPUR - Pelantikan duta Malaysia ke negara luar dibuat dalam proses yang menyeluruh dan teliti berdasarkan prinsip diplomasi, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Menurutnya, proses pelantikan itu juga memerlukan Malaysia memaklumkan kepada negara berkenaan mengenai individu yang akan dilantik sebagai duta, seterusnya mendapatkan persetujuan dari negara itu.
“Setelah proses itu selesai di peringkat negara yang kita nak tempatkan, akan datang balik maklumat itu ke negara kita.
Kita ada banyak proses di mana akhirnya watikah akan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong (kepada yang dilantik sebagai duta),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ketika menjawab celahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Kamaruddin berkata, perkara mengenai pelantikan duta tidak boleh diumumkan sebelum sampai ke peringkat terakhir.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang sebelum itu membangkitkan isu pelantikan duta Malaysia ke luar negara ketika perbahasan rang undang-undang itu; antaranya Hon Wai dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai).
Anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM760,304,100 yang diperuntukkan kepada Kementerian Luar dalam Bajet 2022 kemudiannya diluluskan dengan lebih suara menyokong.
Seramai 15 ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar pada Selasa, selepas rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar pada 18 November lalu.
Sesi perbahasan dan penggulungan pada Rabu dijadual melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Perbahasan dan penggulungan peringkat Jawatankuasa bagi Bajet 2022 akan berlangsung hingga 13 Disember.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Rabu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!