Panggil, siasat, dakwa Guan Eng

Lebih 200 penduduk setempat turut hadir dan berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di Kangar.
Lebih 200 penduduk setempat turut hadir dan berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di Kangar.
A
A
A

KANGAR - Pihak berkuasa perlu memanggil, menyiasat dan mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di atas kenyataan beliau yang mampu mencetuskan keadaan huru-hara di negara ini.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, empat parti iaitu Pas, UMNO, MIC dan MCA sepakat untuk membuat laporan polis kerana kesal dengan kenyataan 'deklarasi perang' yang sepatutnya tidak keluar dari pemimpin yang berada di dalam kerajaan PH hari ini.

Menurutnya, Pemuda MCA dan Pemuda MIC juga akan membuat laporan polis, yang berharap tindakan susulan akan dibuat oleh pihak berkuasa selepas ini.

"Saya gembira lihat kesatuan hati UMNO, MCA dan MIC yang hadir bersama-sama Pas malam ini (semalam) untuk membuat laporan polis terhadap Guan Eng.

"Selama ini, kita duduk dalam negara yang merdeka lebih 60 tahun, duduk dalam keadaan yang harmoni di antara kaum, yang kita rasa negara ini unik dan harap keadaan ini kekal," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, dekat sini.

Mohd Shukri Ramli
Mohd Shukri Ramli

Beliau berkata, tidak ada rakyat yang reda dengan adanya seorang menteri yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara.

"Kami sifatkan kenyataan Guan Eng sebagai janggal dan sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang pemimpin yang bertaraf seorang menteri di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pemimpin DAP tersebut seharusnya menyatupadukan rakyat di negara ini dan bukan bersikap seperti sebahagian dari pemimpin pembangkang.

Mohd Shukri juga berharap kerjasama antara Pas, UMNO, MCA dan MIC dapat diteruskan terutamanya dalam menghadapi PH yang gagal menunaikan manifesto dijanjikan mereka pada PRU14.

Sebelum ini Guan Eng menyifatkan kerjasama UMNO-Pas sebagai 'deklarasi perang' kepada kaum lain namun kembali menarik balik kenyataannya itu dan mengubahnya beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman oleh netizen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!