Lelaki maut tercampak dari kereta
ARAU - Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita cedera apabila kereta jenis Proton Perdana dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Kuala Perlis-Changlun berhampiran kilang papan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam, pemandu kereta, Amirul Syawal Arshad, 29, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang menaiki kereta bersama penumpang, Marlisukarni Ahli, 42, datang dari arah Kuala Perlis menuju ke Bukit Kayu Hitam.
"Mangsa yang tercampak ditemui dalam parit oleh pihak bomba, manakala penumpang yang cedera telah keluar dari kereta melalui tingkap.
"Penumpang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!