Apabila polis Kenya pakai Proton X70
MERAK Jalanan tumpang bangga apabila polis Kenya pilih SUV Proton X70 sebagai kenderaan rasmi.
Polis negara Afrika itu baru saja menerima 30 buah X70 daripada Proton Kenya. SUV tersebut berwarna biru dan hijau, dua warna yang tidak pernah ditawarkan di negara kita.
Rata-rata rakyat Malaysia teruja dengan perkembangan itu. Namun, tidak kurang pula yang menyindir pihak dalam negara yang lebih sukakan kenderaan import mewah sebagai kenderaan rasmi berbanding jenama nasional. Apatah lagi PDRM baru-baru ini menguji cuba lima model mewah BMW M3, X3 dan Volkswagen Tiguan untuk dijadikan kenderaan pengiring VIP.
Bagi yang belum tahu, PDRM juga ada pakai X70. Jadi tidak hairanlah polis Kenya ikut jejak langkah PDRM.
Malah, hampir semua model Proton dan Perodua pernah digunakan pasukan polis kita. Proton Iswara adalah antara yang terawal dipakai sebagai kereta peronda iaitu sejak 1990.
Model lain ialah Proton Wira, Putra, Perdana, Waja, Inspira dan Preve, selain Perodua Kancil dan Kembara.
X70 adalah model SUV pertama Proton yang dilancarkan pada akhir tahun 2018 selepas Geely memiliki 49.9 peratus saham Proton pada 2017. Harganya bermula RM99,800 sebuah.
Walaupun X70 adalah berasaskan model Geely Boyue, ia bukan semudah mengubah logo Geely kepada Proton.
Menurut Proton, mereka terpaksa mengubah kedudukan dan menjajarkan semula papan pemuka, konsol stereng, pedal, kawalan pintu, brek, kotak gear, lampu depan dan macam-macam lagi.
Secara keseluruhan, sebanyak 761 bahagian terpaksa direka semula untuk menukar Boyue menjadi X70.
Sebab itu Merak Jalanan anggap perkembangan di Kenya adalah petanda yang bagus untuk Proton berkembang di luar negara. Kita tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan sahaja.
Kenderaan nasional bukan selamanya jadi jaguh kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!