Pantai Anak Air tarikan baharu Tanjung Lumpur
KUANTAN- Kawasan pelancongan baharu di Pantai Anak Air yang terletak di Tanjung Lumpur, di sini bakal menjadi satu destinasi pelancongan dan pusat rekreasi digemari masyarakat.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, penambahan lokasi pusat peranginan itu akan meningkatkan lagi rantai produk-produk pelancongan sedia ada di daerah ini.
Menurutnya, terdapat enam kawasan peranginan di sekitar Kuantan yang menjadi daya tarikan pengunjung setakat ini iaitu Pantai Chendor; Pantai Cherating, Pantai Sungai Ular, Pantai Batu Hitam, Kempadang dan Pantai Sepat.
"Kita tahu Kuantan mempunyai pantai begitu panjang iaitu dianggarkan melebihi 80 kilometer dan semua pantai ini boleh diakses dengan mudah oleh pengunjung.
"Jadi, dengan aset yang ada ini kita cuba menaiktaraf Pantai Anak Air sebagai satu lokasi baharu. Kalau ikutkan kawasan ini kurang popular tetapi kita yakin selepas ini ia akan menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya majlis pelancaran buku terbitan Kolej Komuniti Kuantan di dewan besar Kolej Komuniti Kuantan di sini pada Selasa.
Hamdan memberitahu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM4juta bagi menaiktaraf kemudahan rekreasi di semua kawasan pelancongan di sekitar pantai di daerah Kuantan.
Jelasnya, ini bagi memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang datang melancong ke daerah ini.
"Selepas meningkatkan kemudahan awam di kawasan tumpuan pengunjung, kita dapati komuniti setempat memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan pantai dengan mewujudkan satu pasukan sukarelawan.
"Pasukan ini akan memastikan kemudahan awam digunakan dengan baik, selain memastikan kebersihan di pusat peranginan. Kita hargai kerjasama daripada komuniti setempat atas usaha mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!