Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC dilapangkan

Najib - Foto fail Bernama
Najib - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa memohon Mahkamah Rayuan agar melapangkan tarikh 8 Disember ini yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut dokumen daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, menyatakan permohonan itu dikemukakan atas alasan Najib akan berada di Singapura sehingga 5 Disember ini.

"Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Disember sehingga 17 Disember, atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah,” menurut dokumen itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC pada 8 Disember

Menurut dokumen itu sejurus pulang dari Singapura pada 5 Disember, perayu diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember dan perayu hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam bermula 13 Disember.

Menurut dokumen itu pihak pendakwa raya juga telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan tidak membantah terhadap permohonan untuk menetapkan tarikh keputusan baru pada minggu di antara 13 Disember hingga 17 Disember.

Selain itu, dokumen itu menyatakan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung bicara pada 8 Disember dan Najib juga mempunyai perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

Menurut dokumen itu pada minggu seterusnya iaitu 20 Disember sehingga 23 Disember, perbicaraan kes bunuh melibatkan Samirah Muzaffar yang diwakili Muhammad Shafee akan bersambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan keputusan rayuan Najib itu ditetapkan pada 8 Disember ini.

Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!