Mayat wanita terapung di sungai Kuala Abang
DUNGUN - Mayat seorang wanita ditemui terapung di Sungai Kuala Abang, pada Selasa.
Penduduk kampung menemui mayat itu yang terapung lebih kurang 10 meter dari tebing sungai, kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan jumpai mayat terapung di Sungai Kuala Abang, di sini, kira-kira jam 3 petang.
"Sejurus menerima maklumat, pihak kami terus ke lokasi dimaklumkan iaitu di belakang sebuah rumah di Kampung kuala Abang Dungun, di sini.
"Setibanya di lokasi, didapati ada satu mayat terapung dan mayat berkenaan terus diangkat keluar sebelum dibawa ke bahagian Forensik Hospital Dungun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Baharudin berkata, susulan penemuan mayat tersebut, siasatan lanjut berkaitan satu laporan polis yang dibuat sebelum ini mengenai wanita hilang dari Kampung Batu Tiong, di sini selepas keluar dari rumah.
"Pihak keluarga terlibat dipanggil ke Bahagian Forensik Hospital Dungun bagi membuat pengecaman terhadap mayat sebelum dibuat pengecaman oleh ibu dan dua abang si mati.
"Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan konsisten mati disebabkan lemas sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!