PH perlu jadi iktibar kegagalan PH
SEREMBAN - Kegagalan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu perlu dijadikan iktibar.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan yang tidak menyebelahi pakatan itu perlu dikaji supaya kelemahan yang dikenal pasti kelak dapat diperbaiki dengan kadar segera.
"Dengan sekatan yang cukup hebat untuk mengadakan kempen pada PRN ini, ia bukan mudah ditambah pula ada dakwaan pengundi keliru mengatakan logo PH dan Perikatan Nasional (PN) hampir sama.
"Itu antara yang akan dibuat penilaian dalam waktu terdekat," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Selasa berhubung keputusan PRN Melaka pada Sabtu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar perlu letak jawatan, bertanggungjawab atas kekalahan PH
PRN Melaka: Kemenangan BN bukti rakyat mahukan politik stabil
Menurutnya, PH Negeri Sembilan akan membuat penilaian di peringkat negeri berhubung kedudukan gabungan itu dan mengatur semula strategi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal memenangi sebarang kerusi, Aminuddin berkata, ia adalah perkara biasa kerana PKR pernah hanya tinggal satu kerusi di Permatang Pauh.
"Ia perkara biasa dan kami akan sentiasa berusaha memperbaiki dan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama selaku kerajaan negeri. Itu janji kami.
"Apa yang berlaku dalam PRN itu sebagai satu petanda baik untuk kami kaji kelemahan atau jika ada kesilapan memperbaikinya kerana tahu rakyat yang akan menentukan masa depan sesebuah parti," katanya.
Sebelum itu Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan hadir di Majlis Apresiasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan 2021 di hotel berkenaan.
Hadir sama, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!