Dua lelaki dikhuatiri lemas semasa larikan diri ketika operasi polis
KEPALA BATAS - Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba melarikan diri ketika operasi polis diadakan di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas awal pagi Rabu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.32 pagi berhubung kejadian.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).
"Apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa lelaki dikhuatiri telah lemas dalam sungai sewaktu berenang ketika melarikan diri semasa operasi yang sedang dijalankan oleh pihak polis.
"identiti kedua-dua mangsa lelaki itu masih belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi SAR kini sedang dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘surface searching'.
Pusat kawalan bomba (PKB) turut dibuka di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan kejadian itu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Mohd Radzi memaklumkan sewaktu kejadian, anggotanya sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah dan pematuhan SOP di lokasi tersebut.
"Beberapa lelaki yang berkumpul di kawasan pasar didapati melarikan diri apabila melihat kehadiran polis sehingga ada yang terjun ke laut," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!