Buat aksi bahaya di Terengganu, kena tahan di Kelantan
KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di rumahnya di Tumpat, Kelantan kerana dipercayai menunggang motosikal dengan aksi berbahaya ketika datang ke Terengganu susulan video memaparkan kejadian itu tular di media sosial, pada Isnin.
Remaja itu ditahan polis kira-kira jam 7.05 petang selepas rakaman video aksi berbahaya itu tular dan kejadian dipercayai berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu termasuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, remaja tersebut ditahan susulan satu laporan polis diterima berhubung rakaman video berdurasi 43 saat tersebut tular di Facebook sejak Ahad.
"Bertindak dari laporan diterima, sepasukan JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Tumpat, Kelantan berjaya mengesan alamat pemilik motosikal berkenaan.
"Siasatan awal mendapati remaja yang bekerja sebagai buruh kasar mengaku dia sebagai individu yang beraksi dalam rakaman video tular tersebut, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.
Menurut Ismail, suspek mengaku aksi tersebut dilakukan pada 12 November lalu semasa dia bersama rakan-rakannya datang ke Kuala Terengganu.
"Suspek menggunakan motosikal milik abangnya semasa melakukan aksi tersebut. Suspek dan motosikal terbabit dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi yang membahayakan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!