Covid-19 punca ketidaksamaan jadi tumpuan, kebimbangan lebih ketara

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 telah menyebabkan aspek ketidaksamaan menjadi tumpuan dan kebimbangan yang lebih ketara, dengan nilai kerja positif, kesihatan yang baik, pendidikan berkualiti dan taraf hidup yang bermakna kini dilihat daripada perspektif baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kesan ketidaksamaan telah menjadi isu yang mencabar sehingga menghalang pembangunan masyarakat di seluruh dunia.

“Berikutan pandemik, situasi ketidaksamaan yang sedia ada dari awal telah bertambah, mengakibatkan keadaan sosial dan ekonomi yang lebih buruk. Kita memerlukan penyelesaian yang dapat membawa implikasi penting dan boleh digunakan secara meluas ke arah mencapai kesejahteraan sosial.

“Perlu ada perbincangan lanjut mengenai dasar perlindungan sosial yang bertujuan menangani kelemahan dan menggalakkan akses untuk semua dalam usaha merealisasikan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya dalam ucapan alu-aluan dan pengenalan bagi hari kedua Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 anjuran KWSP secara maya pada Rabu.

Beliau berkata, memandangkan ketidaksamaan berlaku berpunca daripada kekurangan peluang dan sumber bagi mereka yang paling memerlukannya, terdapat keperluan untuk meneliti penyatuan usaha merentasi seluruh pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta.

Amir Hamzah berkata, langkah memahami dan meneliti dinamik kerjasama awam-swasta untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi merupakan strategi penting yang perlu diterokai.

“Kita percaya dengan menggembleng sumber dan usaha secara bersama-sama adalah amat penting untuk menangani masalah negara yang mendesak. Kita memerlukan strategi berani untuk keadilan sosial dan kerja yang baik di samping mencipta masa depan yang mampan dan berdaya tahan untuk anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata, perlindungan sosial mempunyai peranan penting dalam menangani ketidaksamaan dan membangunkan masyarakat inklusif, malah banyak negara telah mempercepat usaha mereka untuk menggunakan alat perlindungan sosial bagi tindak balas terhadap pandemik.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan perlindungan sosial semakin penting, saya percaya ini membawa kita kepada persoalan bagaimana kita membina daya tahan untuk menghadapi krisis seterusnya?.

“Susulan persekitaran sosial dan ekonomi terus berubah dan kelemahannya terdedah, kita kini berada di persimpangan jalan,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan bantuan sosial seperti program pemberian tunai, boleh menghasilkan pulangan sosial dan ekonomi yang tinggi, selain membolehkan rakyat membuat pelaburan jangka panjang untuk masa depan.

“Kita perlu bergerak ke arah pandangan yang progresif mengenai bantuan sosial dan dasar perlindungan sosial yang lain,” katanya.

Amir Hamzah berkata ekonomi pasca-Covid-19 memerlukan semua pihak mempunyai pandangan baharu ke arah merundingkan semula kontrak sosial.

Pada nadi kontrak sosial yang stabil, wujud kitaran murni merangkumi kepercayaan yang lebih inggi, peningkatan pelaburan menerusi peruntukan yang berkualiti, komitmen terhadap mandat awam, dan paling penting, kerja yang baik untuk semua, katanya.

“Berlandaskan kontrak sosial baharu, kita boleh bekerjasama untuk menggalakkan hak rakyat, memastikan pekerjaan yang baik dengan struktur gaji yang wajar selain mempertingkatkan keterangkuma melalui dialog sosial dan rundingan mengenai upah dan perkara lain berhubung pekerjaan dengan kesatuan pekerja.

“Justeru, kita memerlukan lebih banyak perbincangan, menggunakan mekanisme tiga pihak yang melibatkan kerajaan, perniagaan dan orang ramai dalam usaha mewujudkan ekonomi, masyarakat dan dunia yang lebih baik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!