Waris pencarum maut akibat Covid-19 terima pencen penakat
SEREMBAN - Sejumlah RM203,803.63 faedah pencen penakat dibayar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada seramai 156 waris pencarum di negeri ini yang meninggal dunia akibat kes Covid-19 setakat 10 November lalu.
Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, kesemua waris layak menerima pencen penakat setiap bulan di bawah Skim Keilatan Perkeso.
"Skim ini memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat daripada sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
"Setiap pampasan bergantung kepada gaji dan jumlah caruman orang berinsurans kepada Perkeso yang mana ia akan dibayar secara bulanan kepada suami atau isteri dan anak terakhir sehingga berusia 21 tahun atau selepas habis pengajian Ijazah Sarjana Muda," katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas menyampaikan faedah pencen penakat kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Perkeso di sini pada Rabu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin.
Menurut Fuad, Perkeso telah bekerjasama dengan JPNS untuk mengenal pasti ibu bapa dan penjaga pelajar yang telah meninggal dunia akibat Covid-19.
"JPNS telah menghantar sejumlah 212 nama ibu bapa atau penjaga pelajar yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 dan semakan mendapati, 111 layak menerima faedah pencen penakat
"Setakat ini, seramai 95 orang telah dibayar dan 16 lagi masih dalam proses tindakan," katanya.
Sementara itu Md Fiah berkata, usaha Perkeso itu dapat membantu waris meneruskan kehidupan terutamanya dalam soal pendidikan anak-anak.
"Bagi saya Perkeso merupakan rakan strategik dalam membantu anak-anak dari soal kebajikan dan setakat ini saya masih belum menerima maklumat ada pelajar yang kematian ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 hidupnya terabai," katanya.
Dalam pada itu seorang penerima pencen penakat, Shahrulnizar Katimob, 47, berkata, isterinya yang bekerja sebagai pembantu makmal sekolah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 7 Ogos lalu.
Menurutnya, sejak kematian isteri, kehidupannya agak sukar kerana perlu menyara lima anak berusia 12 hingga 20 tahun yang masih belajar.
"Dengan bantuan Perkeso, ia dapat membantu memudahkan urusan pembelajaran anak-anak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!