Jambatan Keningau-Tambunan siap awal bulan depan
KOTA KINABALU - Kerja pembinaan jambatan bagi laluan Keningau-Tambunan, berhampiran Kampung Liau, di sini, yang terputus akibat tanah runtuh pada 9 November lalu sedang dilakukan dan dijangka siap awal bulan depan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, kerja pembinaan jambatan ketika ini mengikut jadual ditetapkan.
"Kemajuan kerja pembinaan setakat ini 40 peratus dan dijangka siap pada 7 Disember depan.
"Pembinaan jejantas untuk pejalan kaki juga disiapkan. Buat sementara waktu pengguna boleh guna jejantas berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ia berikutan tular gambar dan video sejak Isnin lalu apabila terdapat pelajar sekolah melalui jejantas berkenaan dan dilihat kurang selamat terutama ketika hujan.
Sebelum itu, menerusi hantaran di Facebook rasmi Polis Daerah Keningau menasihatkan supaya pejalan kaki terutama pelajar sekolah harus dipantau berikutan keadaan laluan yang licin.
Turut dimaklumkan laluan itu kini dalam kerja pembinaan dan dibimbangi mendatangkan bahaya kepada pelajar sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!