Peniaga, pengguna mengeluh harga sayur naik
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Selepas kenaikan harga ayam dan telur sejak kebelakangan ini, harga sayur pula dilihat menunjukkan peningkatan sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Moden Seksyen 6, di sini pada Rabu mendapati terdapat beberapa jenis sayur mengalami peningkatan sehingga dua kali ganda.
Antara jenis sayur yang mengalami peningkatan harga mendadak ialah cili merah, sawi, dan kacang buncis.
Bagaimanapun, sayur-sayuran seperti brokoli, daun ketumbar, kubis bunga adalah jenis sayur yang mengalami peningkatan mendadak sehingga dua kali ganda harga asal.
Salah seorang peniaga sayur di sini, Mohd Azmi Hussein, 36, berkata kenaikan harga pelbagai jenis sayur-sayuran mula disedari olehnya sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, sayur seperti kacang buncis sebelum ini dihantar oleh pembekal dengan harga RM8 sekilogram kini meningkat kepada RM15 sekilogram.
Selain itu, harga kubis bunga pada asalnya RM7 hingga RM8 sekilogram, kini meningkat sebanyak dua kali ganda kepada RM15 sekilogram.
"Harga cili merah biasanya harga RM14 sekilogram, kini harganya RM18 sekilogram, manakala sawi pula dalam RM3 hingga RM4 sekilogram, sekarang RM7 sekilogram.
"Biasalah pelanggan akan mengadu tentang kenaikan harga sayur-sayur itu, tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia datang daripada pembekal.
"Saya juga telah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya mereka datang ke sini untuk memantau harga sayur-sayuran," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, peniaga sayur, Ang Chin Phin, 31, berkata, ketumbar dan kubis bunga antara sayur-sayuran yang mengalami peningkatan harga mendadak sejak minggu lalu.
Ujarnya, ramai pelanggan mengeluh kepadanya berkenaan peningkatan harga sayur kerana tidak banyak sayur yang boleh dibeli oleh mereka.
"Dulu dengan harga sebanyak RM20, (pelanggan) boleh dapat lapan jenis sayur, tapi sekarang harganya menjadi RM25 untuk jumlah yang sama.
"Saya pernah tanya kepada pembekal tentang kenaikan harga dan mereka berkata harga sayur turut naik di Pasar Besar Selayang dan Cameron Highlands, Pahang," katanya yang membantu menguruskan perniagaan keluarganya yang mencecah lebih 30 tahun itu.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati pengguna di negeri ini turut mengeluh dengan peningkatan mendadak harga sayur dan merayu agar pihak berkuasa berkaitan segera membuat pemantauan terhadap perkara tersebut.
Tinjauan di Pasar Moden Seksyen 16, di sini mendapati, pengguna yang berpendapatan rendah serta peniaga kedai makan adalah antara yang terkesan dengan peningkatan harga sayur-sayuran.
Hasil tinjauan mendapati rata-rata peniaga kedai makan yang ditemui berkata, kenaikan harga sayur-sayuran menyebabkan kos masakan menjadi lebih tinggi, namun mereka terpaksa menyerap kenaikan kos itu kerana perlu mengekalkan harga makanan.
"Bendi misalnya, minggu lepas dijual pada harga RM5 sekilogram tetapi minggu ini sudah naik menjadi RM7 sekilogram, naik RM2 dalam tempoh seminggu," kata pengguna, Muhamad Izar, 46, ketika ditemui Sinar Harian.
Muhamad yang menetap di Seksyen 19 itu berkata, pengguna terbeban dengan kenaikan harga itu dan pihak yang berwajib perlu segera memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Jamal Yahya, 64, bersetuju dengan pandangan Muhamad agar pihak berkuasa berkaitan membuat pemantauan terhadap harga barang keperluan harian masa kini.
"Sawi, kubis semua naik dan saya pula sebagai peniaga makanan tak boleh naik harga makanan walaupun harga barang mentah makin naik. Eloklah pihak berkuasa periksa harga barang," katanya yang berniaga nasi lemak di Seksyen 26 di sini.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan Pak Lang De Coner di Seksyen 18 di sini, Abdul Wahab Yusoff, 57, berkata, keuntungan berniaga ketika ini semakin mengecil kerana faktor harga barang asas meningkat mendadak.
"Sayur mendadak naik, sawi semalam RM6 sekilogram tetapi hari ini dah RM7.20, bunga kubis biasa RM7 atau RM8 sekilogram tetapi sekarang RM15.
"Harga naik terlampau tinggi, namun peniaga kecil dan peniaga gerai tidak boleh menaikkan harga masakan," keluhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!