PRN Sarawak: 12 hari tempoh kempen, segerakan dos penggalak
KUALA LUMPUR - Tempoh berkempen yang ditetapkan selama 12 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 disifatkan sebagai agak lama khususnya ketika negara masih lagi dibelenggu krisis kesihatan.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam UNIMAS, Prof Madya Dr Helmy Azmi, tempoh tersebut akan melibatkan pergerakan dan mobilisasi ke kawasan pedalaman sekali gus menjadi risiko penularan pandemik Covid-19.
“Tempoh 12 hari berkempen itu agak lama, kerana tempoh berkempen itu adalah satu tempoh pergerakan dan mobilisasi masyarakat dari bandar ke luar bandar untuk berkempen.
“Risiko agak tinggi apatah lagi selepas hari pengundian adalah perayaan Krismas (iaitu) satu sambutan yang besar kebiasaannya di Sarawak.
“Pastinya dengan pergerakan agak ramai itu memerlukan garis panduan yang perlu diperketatkan selain polisi yang akan diumumkan termasukan kawalan kendiri yang perlu diamalkan,” kata Dr Helmy dalam segmen khas Sarawak Memilih siaran Astro AWANI pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak 18 Disember: SPR
Dalam masa, Dr Helmy turut menggesa agar mereka yang layak menerima suntikan penggalak atau booster dose untuk mendapatkannya segera sebelum hari pengundian sebagai langkah awal perlindungan rakyat Sarawak.
“Tempoh ini adalah penting untuk meningkatkan lagi pengetahuan am berkenaan Covid-19 di kawasan penduduk terutamanya di pedalaman.
“Pada masa sama, bagi mereka yang belum dapat booster dose, sila cepat dapatkan, ketika ini hanya 64 peratus yang sudah lengkapkan booster dose jadi kita harap usaha itu perlu ditingkatkan kepada lebih kurang 80 hingga 90 peratus.
“Ia sebagai satu lapisan perlindungan kerana semua sedia maklum, keberkesanan primary dose menurun sedikit selepas tiga hingga enam bulan,” jelasnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala 14 Disember merupakan hari pengundian awal. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!