PSP 2021-2025 rangka pelaksanaan teknologi maklumat luar bandar

Mahdzir.- Foto fail Bernama
Mahdzir.- Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2021-2025 dilancarkan pada Rabu untuk merangka pelaksanaan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi masyarakat di luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM28 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PSP merangkumi empat teras strategik lima tahun serta disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan akan dipantau KPLB dari semasa ke semasa agar pelaksanaannya berada pada landasan tepat.

“Pelan ini bersifat ‘living document’ (dokumen yang berkembang) dan dinamik yang harus ditambah baik serta dinilai secara berkala oleh KPLB menerusi semakan semula secara berjadual,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan PSP itu dan menghadiri majlis perhimpunan bulanan KPLB di sini pada Rabu.

Empat teras PSP adalah pemantapan perkhidmatan digital bersepadu dan inklusif, pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat, pemerkasaan pembudayaan dan profesionalisme Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), serta tadbir urus ICT tuntas dan mampan.

“PSP menjadi terjemahan komitmen KPLB terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda Luar Bandar Sejahtera," katanya.

Melalui PSP, katanya, KPLB menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 sebagai pemacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital dan memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dalam era pendigitalan.

Mahdzir berkata, menerusi pelan itu, KPLB akan menumpukan usaha penambahbaikan 191 pusat komuniti desa di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM8.5 juta agar setiap pusat itu dilengkapi dengan perkhidmatan Internet yang pantas.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi membincangkan cadangan meningkatkan capaian internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya proses berjalan lancar, ia akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Ketika ini terdapat 10,301 Tabika dan 544 Taska Kemas beroperasi di seluruh negara termasuk di luar bandar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!