Johor rancang bina kilang proses sampah jadi tenaga elektrik
ISKANDAR PUTERI - Sebuah kilang Pemulihan dan Rawatan Lanjutan Modular Sisa Pepejal (SMART) yang menukar sisa sampah kepada tenaga elektrik akan dibina di Seelong, Kulai.
Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, projek terbabit akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Darul Ta'zim (PDT) dengan kerjasama syarikat swasta.
"Projek ini akan dibangunkan di Seelong dan dijangka menelan kos RM600 juta. kerajaan negeri sudah bersetuju pengurusan sampah ini untuk dijadikan tenaga dan seterusnya boleh menjadi sumber pendapatan baharu.
"Anak syarikat kita PDT, dijangka akan mempunyai kepentingan dalam pelaburan ini, kita merujuk kepada model pertama dalam negara kita iaitu Smart WTE Plant di Tanah Merah Negeri Sembilan yang diuruskan Cypark Resources Bhd," katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di sini pada Rabu.
Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, kerajaan negeri juga bercadang membangunkan ladang solar atau tempat rekreasi awam di atas tapak pelupusan sampah yang telah tamat tempoh penggunaannya.
"Johor mempunyai sembilan tapak pelupusan yang masih beroperasi, manakala tiga lagi telahpun ditutup iaitu Simpang Renggam, Bakri dan Tangkak.
"Kerajaan Pusat telah bersetuju membayar satu tan sampah RM1, yang mana kita akan gunakan sebagai modal untuk membangunkan tapak pelupusan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!