Harga sayur naik 50 peratus di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kebanyakan peniaga di Terengganu mengakui harga borong bagi beberapa jenis sayur naik 50 peratus sejak dua minggu lalu.
Seorang peniaga, Mariah Mamat, 49, berkata, peningkatan mendadak harga sayuran itu menyebabkan kebanyakan peniaga berasa tertekan kerana terpaksa menaikkan harga jualan.
Menurutnya, antara jenis sayur yang berlaku peningkatan mendadak ialah kubis bunga dan brokoli.
"Harga kubis bunga yang diperoleh daripada pemborong sebelum ini RM11 hingga RM12 sekilogram, namun kini meningkat kepada RM18.
"Sama juga dengan brokoli di mana kita dapat daripada pemborong sebelum ini sekitar RM12 sekilogram dan kini harga melambung sehingga RM18. Jadi kita terpaksa jual RM20 sekilogram," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Chabang Tiga di sini pada Rabu.
Tinjauan harga sayur di Pasar Chabang Tiga di Kuala Terengganu pada Rabu mendapati ia meningkat sekali ganda antaranya sawi manis (RM10), kubis bunga (RM15), brokoli (RM17) sawi panjang kampung (RM6), kacang buncis (RM16), cili besar merah (RM16), cili besar hijau (RM16) dan salad (RM20).
Sementara itu, Zulkifli Ali, 30, berkata, faktor bekalan sayur yang agak terhad menyebabkan berlaku peningkatan harga.
"Biasanya pada hujung tahun harga sayur akan naik kerana pekebun tidak boleh menanam sayur disebabkan cuaca tidak baik. Misalnya, tanaman kacang buncis terjejas kerana tidak berbunga musim hujan.
"Kalau ikutkan saya sendiri pun rasa tak mahu jual sayur musim ini kerana berlaku kenaikan mendadak sehingga melebihi 50 peratus. Pelanggan juga ada yang merungut harga sayur sekarang mahal," katanya.
Seorang lagi peniaga, Nurul Essa Fazira Ariff, 27 berkata, harga kebanyakan sayuran yang dijual meningkat 50 peratus sejak 10 hari lalu.
Sehubungan itu, katanya, dia harap berlaku kawalan harga di peringkat pembekal kerana harga yang diterima peniaga runcit begitu tinggi.
"Kita harap pihak berkuasa dapat memantau keadaan ini dan bertindak sekiranya berlaku pencatutan di peringkat pembekal sebab kita tidak tahu punca kenaikan ini atas faktor apa.
"Mungkin kenaikan harga ini disebabkan banjir atau kerosakan tanaman," katanya.
Sementara itu, wakil pemborong, Mamat Embong, 68, berkata, kenaikan harga hanya melibatkan beberapa jenis sayur antaranya salad, kubis bunga dan brokoli.
Katanya, antara faktor kenaikan harga sayur disebabkan masalah bekalan.
"Bukan semua sayur mahal. Antara yang ketara naik sekarang ialah salad, kubis bunga dan brokoli. Sayur-sayur lain tu mungkin naik dalam RM1 hingga RM1.50.
"Bagi pihak pemborong kita boleh dapat tahu terus trend harga sebab sayur-sayuran ini bergantung kepada bekalan. Kalau kita minta barang dan barang tiada sudah tentu berlaku kenaikan harga bagi barangan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!