Kilang roti, mi kotor diarah tutup
GEORGE TOWN - Sebuah kilang pembuatan roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup berikutan gagal memastikan tahap kebersihan premis mencapai piawaian Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) selepas menemui najis tikus pada plastik pembungkusan.
Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, najis tikus turut ditemui di bahagian simpanan dulang roti yang dikhuatiri akan menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.
Menurutnya, kilang roti terbabit yang beroperasi sejak 50 tahun itu pernah diserbu tahun lalu dan diberi amaran berikutan kegagalan menepati standard pematuhan kebersihan kualiti makanan.
"Pemeriksaan yang dilakukan turut menemui sisa minyak tepu pada troli bertingkat yang digunakan untuk membakar roti dan ia sekali gus boleh berlaku pencemaran silang yang mengakibatkan keracunan makanan.
“Selain gagal mematuhi pematuhan PJKM, pengusaha premis juga didapati menggunakan bungkusan kotak yang mempunyai logo halal, sedangkan premis ini langsung tidak memperoleh sijil halal," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Rabu.
Mohd Wazir berkata, kilang roti terbabit diarah tutup serta merta selain pihaknya mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan pekerja gagal memakai pakaian dan peralatan sesuai ketika bekerja.
Jelasnya, notis penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, sebuah kilang pembuatan mi di Jalan Pintal Tali di sini juga dikenakan tindakan sama apabila diarah tutup 14 hari susulan penemuan pelbagai kesalahan membabitkan isu kebersihan.
Katanya, kilang mi yang diusahakan sejak 80 tahun itu didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai serta gagal mematuhi PJKM.
“Dalam pemeriksaan yang dibuat, kita dapati produk mi yang dikeluarkan oleh kilang itu tidak mempunyai label sekali gus menyukarkan pencarian pemilik sekiranya pelanggan mengalami keracunan makanan.
“Premis ini juga didapati melakukan kesalahan berulang memandangkan kita pernah serbu dan beri nasihat atas kesalahan sama pada tahun lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!