Belajar agama tak perlu lojik?

A
A
A

PADA nukilan ini penulis hendak memeriksa ungkapan tentang tidak boleh menggunakan lojik dalam mempelajari agama. Apakah yang dimaksudkan oleh agamawan bahawa kita semua, lahir sahaja dalam keluarga Melayu, lantas diazankan dan beberapa tahun kemudian disunatkan kemaluan lelaki maka cukup Islamlah kita?

Mengikut ulama terkenal di India zaman moden kurun ke-20, Abul-a’la- Maududi dalam buku yang saya baca berjudul "Towards Understanding Islam", kita umat Islam bukan sebenarnya Islam jika nama kita ala Arab dan kita lahir dalam keluarga serta budaya Islam. Kita bukan sepenuhnya Islam kerana kita bersunat atau berakad nikah dan sebagainya.

Kata ulama hebat ini, kita hanya Islam jika kita faham implikasi maksud syahadah dan impaknya terhadap sistem sosiobudaya dan sosiopolitik serta rangka pendidikan dan ekonomi kita.

Beliau mengulang lagi dalam buku lain yang saya baca iaitu koleksi khutbah Jumaat yang berjudul "Fundamentals of Islam". Beliau berkata, apa guna pil ubatan jika kita ikatkannya sebagai rantai hikmat melainkan kita telan ia untuk sembuh daripada penyakit.

Begitulah analogi membaca atau menghafal al-Quran tanpa menghayati makna dan implikasi makna tersebut dalam keseluruhan sistem kehidupan kita.

Kesemua tulisan ini mencabar anutan agama berteraskan percaya bulat-bulat serta mengikut membabi buta golongan agamawan dan pemimpin berbudaya Islam tanpa menyoal, memeriksa, mengkritik dan menilai warisan budaya dan maklumat Islam yang diterima pakai.

Bagaimana umat nak berkembang jika tidak menggunakan akal fikiran lojik untuk menimbang dan menilai? Ada yang mengatakan bahawa lojik tidak boleh diguna kerana ia terlalu bebas dan tidak terhad. Kita hanya boleh berfikir setakat yang telah ditetapkan oleh syarak dan golongan agamawan.

Inilah formula yang bakal mendungukan umat Islam dan menjadikan sistem budaya Islam yang memeras ugut umat Islam sendiri dan umat lain. Sebabnya? Ia tidak pakai lojik, cuma pakai fikiran orang lama dan orang berkuasa, berego dan berpangkat.

Artikel Berkaitan:

Kenapa kita semua diajar menggunakan fikiran dalam kurikulum sekolah rendah, menengah dan universiti? Tiba-tiba, datang hal agama, kita tidak boleh menggunakan lojik akal pula. Adakah ilmu Barat tentang profesion seni bina dan kejuruteraan itu tidak sesuci ilmu wahyu daripada Tuhan? Sefaham saya ada banyak ayat Quran yang menggalakkan kita menggunakan lojik akal.

Kalau tidak dibenarkan penggunaan lojik akal, maka anak kecil Melayu yang dilahirkan dalam Mazhab Shafiee, jadi Islam Shafielah dia sampai mati. Anak kecil yang dilahirkan dalam keluarga dan budaya Syiah maka Syiahlah dia sampai mati kerana tak perlu guna lojik... cuma ikut telunjuk ulama Syiah.

Samalah dengan anak Ahmadiya dan Ismaili serta ramai lagi suku sakat kaum Islam sendiri. Yang Kristian pun tak guna lojik maka Kristianlah dia. Yang Buddha pun sama dan yang Hindu pun tumpang sekaki. Satu dunia ini yang tidak guna lojik akal maka tidak akan ada titik persamaan, titik permuafakatan dan titik kasih sayang sebabnya semua tak boleh dan tak payah guna lojik.

Kalau begitu hendaknya golongan agamawan, tutup sajalah sekolah dan universiti. Buat apa pandai-pandai fikir lojik... nanti sesat. Pemimpin agama di Malaysia menganggap kita semua ini bodoh-bodoh belaka macam orang kampung dulu-dulu. Nampak pelangi dikatakan Ular Nadu. Gempa bumi dikatakan bumi atas tanduk lembu. Al-maklum, sains golongan pak alim dulu tanpa lojik... cuma dengar ceramah.

Saya ingin menegur pihak-pihak agamawan yang tidak kisah langsung nak susun bahasa apabila mencadangkan cara mempelajari agama yang lebih ilmiah. Cara menghadap tok guru dah berlalu. Dulu tak banyak buku dan tidak ada rujukan internet yang berlambak-lambak ilmunya. Kita pelajari agama dengan kaedah menggunakan sumber maklumat dan bukannya taasub pada tok guru seorang. Nanti tok guru makan suap pun dikatakan halal sebab tak payah fikir lojik.

Dulu tak ada ilmu sains, matematik, sains sosial dan falsafah pemikiran manusia lain. Sekarang semua ada, takkanlah belajar agama di bawah tempurung kelapa lagi. Kita mesti menggunakan ilmu lain yang ada. Sekarang ini ada juga ulama yang kata bumi itu tidak bulat! Ada yang kata ilmu astronomi orang kafir tu bohong kerana hanya ada Tujuh Petala Langit dan bukannya kosmos. Ada juga yang membahayakan nyawa anak-anak kecil dengan menolak vaksinasi atas alasan tak pernah dibuat Nabi! Lojik tak pakai.

Sebenarnya, wahai ustaz, bukanlah kita tak boleh pakai lojik. Ustaz kena belajar sains, sains sosial, teknologi, falsafah kemanusiaan dan aspek kelestarian global. Tidak mustahil ustaz-lah yang malas berfikir dan belajar, maka disuruhnya kita tidak boleh mengguna lojik akal!

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!