Gagal penuhi syarat pelesenan, 34 ladang khinzir ditutup di Perak
IPOH - Sebanyak 34 ladang khinzir telah ditutup di Perak kerana tidak memenuhi syarat pelesenan sejak penguatkuasaan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-Kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009 (Lesen).
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sejak enakmen itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010, sebanyak 131 lesen penternakan khinzir telah dikeluarkan pada tahun sama.
“Pada Januari tahun ini, sebanyak 103 ladang khinzir telah dilesenkan, tiga ladang ditutup dan tiga lagi dalam proses penutupan menjadikan jumlah yang masih beroperasi hanya 97 setakat ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau pada Rabu.
Mengulas penyelesaian isu pembuangan air najis khinzir dan pelepasan air lebihan dari kawasan ladang, Mohd Akmal berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak sejajar dengan peruntukan enakmen itu bagi memastikan kelestarian alam sekitar terutama dalam pengawalan pencemaran sungai yang sering berlaku.
“JPV menetapkan had parameter pelepasan efluen yang disalurkan keluar dari ladang penternakan khinzir mestilah bacaan keperluan oksigen biokimia kurang daripada 50 ppm dan keperluan oksigen kimia kurang daripada 500 ppm sepertimana yang terkandung dalam jadual kedua enakmen tersebut,” katanya sambil menambah persampelan air kumbahan dijalankan dua kali setahun oleh pegawai JPV iaitu fasa pertama pengambilan sampel antara Januari hingga Jun dan fasa kedua antara Julai hingga Disember.
Beliau berkata, ladang berdekatan sungai disaran mengguna pakai konsep sistem sifar pelepasan iaitu merawat air kumbahan menggunakan bahan kimia dan digunakan semula sebagai air membasuh kandang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!