Tuah masih tidak menyebelahi Liew Daren
TUAH masih tidak menyebelahi pemain badminton veteran perseorangan negara, Liew Daren setelah beliau ditundukkan pemain tuan rumah, Jonatan Christie dalam pusingan pembukaan Terbuka Indonesia di Bali pada Rabu.
Jonatan, pemain pilihan keenam kejohanan menumpaskan Daren 21-14, 21-15, untuk mara ke pusingan kedua bertemu rakan senegara Chico Aura Dwi Wardoyo esok, yang mengalahkan Henrikho Kho Wibowo juga dari Indonesia, 21-11, 21-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua.
Daren sebelum ini terkandas lapan kali di awal pertandingan daripada sembilan kejohanan musim ini dengan pencapaian terbaiknya ialah mara ke suku akhir Terbuka Thailand, Januari lepas.
Sementara itu, beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien bangkit daripada ketinggalan setelah tewas 15-21 dalam set pertama sebelum menumpaskan beregu Indonesia Melani Mamahit-Tryola Nadia, 21-8 dan 21-10 dalam dua set seterusnya.
Vivian-Chiew Sien akan berdepan beregu pilihan ketiga dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dalam perlawanan seterusnya yang sebelum ini memperoleh bai dalam pusingan pertama.
Satu lagi beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen terpaksa bertarung selama satu jam 19 minit sebelum dapat menewaskan gandingan Alexandra Boje-Mette Poulsen dari Denmark, 21-12, 19-21, 26-24.
Beregu wanita pilihan kelima, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva menanti Meng Yean-Cheng Wen dalam pusingan seterusnya selepas gandingan Bulgaria itu terdahulu mengalahkan Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki dari India, 29-27, 21-18.
Cabaran beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See di dalam kejohanan ini berakhir setelah tumpas kepada pasangan pilihan ketiga dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 18-21, 12-21. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!