Industri sawit Malaysia guna dron tiga tahun lagi
KUALA LUMPUR - Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi dron di sektor sawit dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Dron-dron ini akan dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenalpasti buah matang dan berkeupayaan untuk mengangkut buah tandan, katanya.
"Kalau ini dapat dilaksanakan, anak muda pasti berminat untuk bekerja dalam industri sawit, seterusnya meningkatkan jumlah pekerja tempatan.
"Ini juga dapat memastikan pekerja asing tetap kekal (di dalam industri) yang lebih mampan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Rabu.
KPPK juga telah mencadangkan penggunaan mekanisme kerajaan dengan kerajaan supaya pengambilan pekerja asing dan agen, insentif serta gaji yang akan diberikan dapat dibuat secara telus dengan negara sumber buruh bagi memastikan negara kekal kompetitif.
"Ini akan dilaksanakan secara pelan jangka panjang kerana kami mahu memastikan bekalan pekerja asing untuk tempoh tiga hingga lima tahun bagi mengekalkan pasaran kami agar tidak tertinggal di belakang China, Indonesia atau negara-negara lain,” jelas beliau.
Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) juga telah ditubuhkan baru-baru ini bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan serta pembangunan automasi perladangan sawit dengan penekanan terhadap penggunaan dron, robot termasuk sensor bagi operasi bersepadu dan sistematik.
Sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!