Harga makanan utama meningkat, rakyat gusar
TURUN naik harga makanan utama di dalam negara bukanlah sesuatu yang asing. Ini kerana kadar harga makanan adalah bergantung kepada kadar bekalan dan permintaan di dalam pasaran.
Meskipun begitu, tidak semua lapisan masyarakat di Malaysia mampu untuk menampung kenaikan tersebut walaupun kenaikan tersebut hanyalah sementara.
Beban kenaikan tersebut pastinya amat dirasai terutamanya oleh golongan berpendapatan rendah yang ketika ini sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meninggi saban tahun.
Justeru, kenaikan harga makanan asas rakyat Malaysia seperti daging ayam, telur dan beberapa jenis sayuran yang dilaporkan media pada minggu ini tentunya amat dirasai oleh rakyat Malaysia.
Pada Selasa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan bahawa harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasaran didapati naik sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.
Katanya, terdapat harga lapan jenis sayuran didapati naik antaranya kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.
Kenaikan harga sayur itu menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang dilaporkan mula beberapa di beberapa negeri di seluruh negara juga pada minggu ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff pada Isnin berkata, pihaknya mendapati harga telur ayam di negeri itu meningkat sehingga lebih RM3 sepapan atau 30 biji telur ayam sejak seminggu.
Menurut Mohamad Yusrizal, kenaikan sebanyak tiga sen bagi sebiji telur itu melibatkan semua gred jenis telur. Kenaikan makanan protein itu turut dikesan berlaku di Perak dan beberapa negeri lain.
Sementara itu, harga ayam yang merupakan antara makanan protein utama rakyat Malaysia didapati turut telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan lalu.
Meskipun penjelasan terhadap siri kenaikan harga itu ada di antaranya diterima secara rasional, namun adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menangani isu kenaikan itu sebelum ia terjadi.
Ini kerana selain daripada pengguna biasa, kenaikan harga makanan utama negara itu turut memberikan kesan langsung terhadap peniaga makanan yang kebanyakannya ketika ini baru sahaja memiliki kesempatan untuk kembali berniaga.
Di samping itu, kawalan terhadap makanan utama itu juga perlu diberikan perhatian kerana ia penting untuk memastikan kesemua ibu bapa terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah dapat terus mampu menyediakan sumber protein yang diperlukan oleh anak-anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!