SOP PRN Sarawak perlu ambil kira pengundi kawasan pedalaman
KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang bakal dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti perlu mengambil kira segala aspek yang ada di negeri itu.
Saran penganalisis politik dari UNIMAS, Dick Lembang Dugun, apa yang ditetapkan di Melaka pada PRN tempoh hari tidak boleh dibawa ke Sarawak memandangkan geografi dan demografinya yang berbeza.
Katanya, keselamatan kesihatan tetap perlu dititik beratkan dalam meraikan demokrasi, namun tidaklah perlu terlalu ketat sehingga menyukarkan usaha berkempen di negeri terbesar Malaysia itu.
“Harus diingatkan di Sarawak ini jaringan internet sangat lemah terutama di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, juga kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini berada di luar bandar.
“Ini adalah satu perkara yang perlu difikirkan dan satu penyelesaian yang tuntas amat dituntut daripada SPR bagi memastikan maklumat dan manifesto yang dibawa calon-calon bertanding sampai kepada rakyat di akar umbi di kawasan pedalaman ini,” katanya.
Seandainya SOP yang terlalu ketat menyebabkan maklumat sukar sampai ke setiap pelusuk negeri, pengundi akan terpinga-pinga dan akhirnya tidak dapat membuat keputusan dengan pertimbangan yang jelas.
Juga dalam mengambil kira semua perkara tersebut, Dick juga menyeru SPR supaya SOP itu diumumkan sesegera mungkin bagi memudahkan perancangan semua pihak terlibat, dari parti yang bertanding hinggalah rakyat. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!