Jagoan gusti lengan berentap di Kejuaraan Gusti Lengan Kebangsaan
[DIKEMASKINI] KEJUARAAN Gusti Lengan Kebangsaan edisi keempat kembali menemui komuniti sukan tersebut di Subang Jaya.
Menurut Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd Zil Fadli Abd Halim, kejuaraan itu meneruskan tradisi mencari sekumpulan penggusti lengan terbaik negara dalam pelbagai kategori berat badan.
“Setelah tertangguh lebih setahun, ramai penggusti lengan daripada kesemua negeri ahli gabungan MyArms tentu tidak sabar-sabar untuk kembali mempamerkan kejaguhan mereka dalam Kejuaraan Gusti Lengan Kebangsaan 2021.
“Kejuaraan ini turut akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan bagi penganjuran pertandingan sukan tempatan bagi mengelak penularan Covid-19,” ujarnya.
Kejuaraan yang dijadualkan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang ini menjadi medan pengiktirafan tertinggi buat para penggusti lengan handalan seluruh negara.
Untuk rekod, kali terakhir kejuaraan anjuran MyArms yang diasaskan pada 2014 ini adalah pada 17 Ogos 2019 di sebuah hotel di Cyberjaya,
Menurut Mohd Zil Fadli, antara jagoan yang mengambil bahagian ialah juara dunia kategori senior 70 kilogram tangan kanan, Joffey Jolly.
“Dia juga meraih pingat gangsa berat sama (kiri) Kejuaraan Gusti Lengan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) di Rumia, Poland pada 2019.
“Jagoan-jagoan lain termasuk Mohammad Safuan Asif, pemenang pingat perak senior 57kg kanan dan gangsa kiri Kejohanan Dunia 2019 dan Abigail Kee, pemenang pingat perak remaja 70kg kiri dan kanan,” kata Zil Fadli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!