MB Perak sambut baik kerjasama UMNO-Pas, tapi...
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut baik kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas bagaimanapun, menolak hasrat kononnya blok itu bakal merampas Perak dan Kedah.
Beliau yakin, kerajaan campuran yang bakal dibentuk UMNO dan Pas tidak akan menakluki Perak kerana tiada ura-ura ADUN PH melompat parti untuk menyertai gabungan tersebut.
“Kerjasama UMNO dan Pas ini satu idea yang bagus, tak kisah mereka mahu bekerjasama dengan sesiapa pun tapi sebaiknya buat kerjasama untuk rakyat, negara bukan untuk nak melemahkan kerajaan menyebabkan negeri menjadi kucar–kacir.
“ Tapi kerjasama untuk kebaikan, silakan, teruskan mereka patut jadi pembangkang yang baik menasihati kerajaan bantu kerajaan untuk penggal ini dan untuk PRU15 akan datang kita bertanding serah balik kepada rakyat dan kalau rakyat pilih mereka jadilah kerajaan yang baik,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan sinis mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana memberi laluan kepada Pas untuk mengambil alih Kedah.
“Saya dah ucap tahniah kepada UMNO sebenarnya, kerana beri laluan kepada Pas untuk ambil alih Kedah.
“Ini satu sifat murah hati yang begitu hebat daripada UMNO kerana dengan gabungan itu yang tentunya akan jadi lebih kuat di Kedah adalah Pas dan bukannya UMNO,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!