Jangan ambil kesempatan berbahas ketika kemuka soalan: Azhar
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sekali lagi menegur sikap segelintir ahli Parlimen yang membuat mukadimah panjang serta mengambil kesempatan berbahas ketika bertanyakan soalan kepada menteri.
Menurutnya, sikap sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), tetapi juga tidak adil kepada ahli Parlimen lain untuk mengajukan soalan yang lebih penting.
“Peraturan 24 menyatakan dengan terang bahawa sesuatu pertanyaan tidak boleh jadikan helah untuk berbahas. Ini bukan waktu berbahas. Ini waktu pertanyaan menteri dan waktu menteri menjawab.
“Jadi, saya hendak minta tolong supaya amalan ini kita kena hentikan sebab prinsip di sebalik pertanyaan ini adalah kita hendak sebanyak mungkin soalan ditanya dan sebanyak mungkin pertanyaan dijawab, bukan dibolot oleh Yang Berhormat yang dapat soalan top ten (10 terbaik), bukan begitu.
“Jadi, saya hendak pohon kerjasama semua supaya tidak bahas, mukadimah tidak panjang kerana saya dapati ada mukadimah sampai seminit setengah tetapi soalan hanya 10 saat. Tidak elok macam itu sebab ia megambil masa Yang Berhormat lain bertanya soalan. Tidak adil sebenarnya,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Azhar Azizan turut menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi masa yang panjang kepada mana-mana ahli Parlimen untuk bertanya, namun tidak mahu amalan itu berlaku.
“Bagi saya tidak apa, saya boleh bagi satu soalan sejam pun boleh tetapi tidak adil kepada Yang Berhormat sendiri,” katanya.
Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen bangkit mencelah ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kementeriannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!