Operasi tembak burung gagak Ahad ini
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjalankan operasi menembak burung gagak pada Ahad ini bermula jam 6.30 pagi hingga 9 malam.
Operasi itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan dikenal pasti sekitar Seksyen 2 hingga Seksyen 25 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 di sini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, bermula Januari lalu sehingga kini, sejumlah 89 aduan telah diterima oleh pihaknya berhubung kacau ganggu disebabkan oleh burung gagak.
"Tabiat burung gagak yang menyelongkar tong dan kawasan pembuangan sampah untuk mencari makanan telah menyebabkan pencemaran serta menimbulkan rungutan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Shahrin mengingatkan penduduk Shah Alam agar dapat mengambil maklum mengenai operasi berkenaan dan tidak berada di kawasan berhampiran sewaktu aktiviti itu sedang dilaksanakan.
Tambahnya, aktiviti menembak burung yang dilaksanakan itu juga merupakan program tahunan MBSA dalam meningkatkan tahap kebersihan di bandar raya ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!