Buka sempadan: Malaysia akan bawa masuk pelabur asing

Kashif Ansari. - Foto LinkedIn
Kashif Ansari. - Foto LinkedIn
A
A
A

MALAYSIA dijangka membuka kembali sempadan untuk pengunjung antarabangsa pada 2022, selepas penutupan selama hampir dua tahun, dan ini akan memberikan kesan serta-merta ke atas pasaran hartanah dengan menarik pelabur luar negara dan penduduk tetap asing.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pembukaan semula sempadan menandakan pemulihan secara keseluruhan kepada situasi normal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pekerjaan.

“Pada 2020 dan 2021, pelaburan rentas sempadan ke dalam sektor hartanah Malaysia mengalami penyusutan ketara seperti yang dijangkakan.

“Melangkah maju, kami mengunjurkan pasaran kediaman mencatatkan pengukuhan, kesan daripada pemulihan yang berlaku dalam ekonomi meluas.

Kita akan menyaksikan jumlah transaksi meningkat terlebih dahulu dan kemudian mendorong peningkatan harga dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menjangkakan permintaan kediaman rentas sempadan akan meningkat sepanjang 2022, dan mungkin mencecah paras yang dicatatkan pada 2019, 2024 atau 2025.

“Walaupun begitu, permintaan akan jauh lebih tinggi daripada status quo semasa.

Ini akan menjadi kelegaan bagi pemaju dan penjual yang sedang berada dalam pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Pembeli dari Singapura dijangka menjadi yang pertama untuk kembali, diikuti mereka dari negara lain yang secara tradisinya memainkan peranan dalam pasaran perumahan mewah Malaysia,” katanya.

Mengenai prospek ekonomi, Kashif berkata, kadar pantas vaksinasi dan rawatan baharu Covid-19 mendorong penambahbaikan prospek, yang dijangka membawa kepada lonjakan dalam perbelanjaan isi rumah dan keinginan untuk menggunakan pada 2022.

“Semua keadaan yang sama juga berkemungkinan meningkatkan permintaan hartanah dan pembentukan isi rumah baharu,” katanya.

Beliau menjelaskan, ekonomi dijangka pulih pada 2022, seiring dengan pertumbuhan yang sepadan dalam ekonomi global.

Kerajaan sedang melaksanakan rangsangan ekonomi dan fiskal, justeru, Juwai IQI menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 6.0 peratus tahun depan.

“Eksport pada 65 peratus daripada KDNK, adalah amat ketara sehinggakan penambahbaikan ke atas prospek global dan penyelesaian rantaian bekalan antarabangsa akan memberi kesan positif di Malaysia.

"Pekerjaan dan pendapatan isi rumah adalah faktor langsung kepada permintaan perumahan.

Pada 2022 kami menjangkakan pembukaan semula ekonomi dan rangsangan kerajaan akan memacu kenaikan kedua-duanya. Ahli ekonomi UOB juga menjangkakan pengangguran menurun sebanyak enam mata asas kepada 3.6 peratus pada 2022.

''Ringkasnya, unjuran kami adalah bagi pemulihan ekonomi yang semakin positif dan prospek lebih kukuh tahun hadapan,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!