Terowong SMART dibuka semula hari ini
KUALA LUMPUR - Terowong Lebuhraya SMART kini dibuka semula kepada laluan trafik bermula pukul 7 pagi tadi.
Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam kenyataan pada Khamis berkata, proses pengepaman keluar air dan pencucian terowong telah dilalukan sejak semalam dan kerja pembersihan telah selesai dijalankan pada Khamis.
“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal dan elektrikal juga telah dijalankan bagi memastikan semua peralatan berada di dalam keadaan baik dan selamat sebelum terowong Lebuh Raya SMART dibuka semula untuk pengguna,” menurut kenyataan tersebut.
Pasukan dan pengurusan terowong SMART akan terus memantau keperluan operasi SMART dan memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi sebarang kemungkinan keperluan operasi.
Pada 22 November lepas, terowong tersebut ditutup berikutan hujan lebat di sekitar ibu kota bagi mengaktifan sistem banjir disusuli pelepasan air banjir ke dalam sistem takungan terowong Lebuh Raya SMART. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!